Shamsul Saad. Foto Facebook Kelantan United.

KUALA LUMPUR – Pengendali baharu Kelantan United FC, Syamsul Saad tidak mahu orang ramai memandang sepi terhadap kehadiran skuad kendaliannya musim depan di Liga Premier biarpun tidak dibarisi ramai pemain bintang atau berpengalaman.

Bagi bekas pengendali Perak II berkenaan, kejayaan tidak hanya hadir menerusi perbelanjaan tinggi sebaliknya perancangan mendapatkan pemain yang tepat serta kebijaksanaan pengurusan.

Justeru, beliau memandang tinggi potensi dimiliki skuad Kelantan United yang terdiri daripada hampir 90 peratus anak jati negeri itu dalam membawa cabaran mereka di pentas Liga Malaysia 2022.

“Saingan Liga Premier tampak terbuka sebenarnya dan jangan hanya tengok kepada sejarah serta nama pasukan semata-mata kerana pada musim baharu, kekuatan sudah berbeza

“Kita boleh lihat sebahagian besar pemain dalam pasukan Kelantan dan Perak sebagai contoh yang telah melakukan rombakan pasukan dengan membawa masuk separuh pemain baharu, jadi semua pasukan sudah pasti tidak tahu kekuatan masing-masing, termasuk juga kami.

“Saya mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk Kelantan United kerana setiap pemain perlu ada mentaliti sebagai juara walaupun kami ini sebuah pasukan yang sederhana serta mempunyai bajet yang kecil sahaja.

“Sejujurnya saya gembira kebebasan diberikan pasukan dalam memilih pemain dan paling penting saya nampak kelab ini berada dalam proses yang betul dalam membina masa depan lebih baik.

“Saya teruja ruang banyak diberikan kepada anak-anak Kelantan yang rata-ratanya berumur antara 23 ke 24 tahun untuk menunjukkan potensi dan bakat mereka,” katanya.

Syamsul yang merupakan bekas pemain Terengganu dan Perak di era lewat 90-an dan awal tahun 2000 sebelum ini pernah berpengalaman mengendalikan Perak, Perlis dan T-Team sepanjang karier bergelar jurulatih.

Sementara itu, Syamsul mendedahkan hanya dua pemain import musim lalu, Masashi Motoyama dan Shuhei Fukai dikekalkan dengan dua lagi import baharu sedang di dalam proses untuk dibawa masuk.

“Buat masa ini, Masashi dan Fukai antara dua import yang dikekalkan oleh pengurusan dan saya sudah merancang membawa masuk dua lagi pemain.

“Kedua-duanya dari Afrika dengan seorang dari Ghana dan seorang lagi dari Nigeria, mereka akan tiba tidak lama lagi menyertai pasukan, ” katanya.

Dalam masa sama, Syamsul akui keputusan bersama Kelantan United pada musim ini bukan sesuatu yang mudah kerana pertama kali dia akan berjauhan dengan keluarga di Perak.

Tambahnya, sepanjang pernah berkelana di Terengganu serta Perlis, beliau sentiasa membawa keluarganya namun tidak kali ini atas faktor permintaan anak-anaknya.

“Hadirnya saya ke sini bukan sekadar memenuhi tawaran yang diberikan atau sekadar menyambung karier namun pengorbanan paling paling besar adalah tidak bersama ahli keluarga.

“Saya meninggalkan anak-anak di Ipoh dengan salah seorangnya masih bersekolah kerana mengambil PT3 tahun ini sementara abang-abangnya sudah punyai karier masing-masing, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast