Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Laporan mengenai kepentingan pelaksanaan kajian perubatan berasaskan hem dan ketum akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa sebulan lagi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, laporan yang dibuat sejak Disember tahun lalu kini dalam peringkat akhir dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Ia sudah hampir siap. Dalam masa tiga atau empat minggu lagi dan kita akan hantar kepada KKM dan KDN. Saya optimis ia akan diberikan kelulusan,” ujarnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Pusat Racun Negara dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan adalah antara pihak yang terlibat dalam membuat laporan untuk dikemukakan kepada KKM dan KDN

Selepas itu terpulang kepada kedua-dua kementerian itu untuk meluluskan penggunaan ketuam dan hem di negara ini.

Sebelum itu, Zahidi pernah menegaskan, laporan mengenai kepentingan pelaksanaan kajian perubatan berasaskan hem dan ketum akan disiapkan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada Mac ini.

Laporan itu bagi membolehkan hem dan ketum ditanam bagi tujuan kajian perubatan dilaksanakan sekali gus membuka peluang untuk negara menerokai pasaran perubatan yang baharu.

Laporan berkenaan mengandungi pandangan daripada beberapa syarikat yang berkaitan ketum dan hem selepas satu forum berkaitan diadakan pertengahan Disember 2021.

Zahidi berkata, beliau akan meyakinkan ahli-ahli Parlimen untuk mengemukakan usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk menggesa kerajaan sekiranya kedua-kedua kementerian tidak meluluskan laporan dan permohonan yang dikemukannya itu.

“Kalau boleh sampai sesi Parlimen depan kalau tidak lulus juga kita akan yakinkan ahli Parlimen buat usul persendirian di Dewan Rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Zahidi pernah menyatakan, kelulusan bagi kedua-dua perkara itu bukan sahaja dapat membantu ekonomi negara, kekurangan peluang pekerjaan akan dapat ditangani sekiranya negara terlibat dengan perubatan dengan menjadi negara yang menanam hem dan ketum.

“Kalau kita mahu negara kita maju dari segi dan jadi ekonomi gergasi, peluang pasaran hem dan ketum sangat baik. Pasaran ketum RM50 bilion, hem pula sehingga mencecah RM250 bilion.

“Malaysia mempunyai peluang terbaik kerana tanah di Malaysia adalah terbaik menurut kajian pihak antarabangsa untuk hem dan ketum,” tambahnya.- MalaysiaGazette