Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14 Dewan Rakyat pagi ini akan bermula dengan penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selepas itu, mesyuarat diteruskan dengan penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmd berhubung pengurusan bencana banjir.

Turut mengambil bahagian dalam penerangan berkaitan isu banjir ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang akan menjelaskan mengenai bantuan bencana banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula akan memberi penjelasan berkenaan perancangan jangka panjang kementeriannya berkaitan bencana banjir.

Selepas itu Ahli-ahli Parlimen diberi peluang untuk meminta penjelasan dari kementerian berkenaan, selain memberi pandangan, sebelum mesyuarat khas itu dan diakhiri dengan menteri menjawab isu dibangkitkan.

Baru-baru ini, Ismail Sabri menerusi Facebooknya memaklumkan sidang khas Dewan Rakyat berkaitan bencana banjir akan diadakan hari ini.

Menurut beliau, ketetapan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Mendalami kesusahan rakyat yang terkesan berikutan bencana banjir, satu Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Januari 2022.

“Ini bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” tulis beliau. – MalaysiaGazette