KUALA LUMPUR – Awang@Musran Tawil dilantik selaku Pemangku Ketua Pengarah secara interim Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selepas diputuskan Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM (LPA) melalui Mesyuarat Khas pada 13 Januari lalu.

Pelantikan Awang dibuat selepas peletakan jawatan Mohd Ridzal Mohd Sheriff pada tarikh yang sama.

Awang yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Divisyen Perniagaan Kumpulan memulakan perkhidmatan di YaPEIM sejak Ogos 2020 dan mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan serta perbankan.

Pelantikan ini diharap dapat memacu YaPEIM ke aras institusi kewangan Islam dan amal jariah yang kukuh serta mencapai objektif yang telah digariskan.

YaPEIM turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Mohd Ridzal di atas perkhidmatan beliau di YaPEIM dan juga selamat maju jaya kepada beliau. – MalaysiaGazette