Musa (kiri) mengadakan perjumpaan bersama penduduk yang terkesan akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa ambil peduli nasib penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang sudah berlarutan lebih seminggu.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ia susulan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBSP) yang dikatakan gagal memberi maklumat situasi semasa berkaitan kebakaran tapak pelupusan itu kepada penduduk  terlibat.

Jelas beliau, pihaknya juga akan mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk mengambil tindakan bagi membantu penduduk berhubung isu berkenaan.

“Kita minta penduduk buat laporkan polis dan kita akan bincang apa tindakan seterusnya yang boleh diambil untuk membantu memudahkan penduduk.

“ Ini kerana mereka keliru dan resah tidak mengetahui sampai bila terpaksa tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau menumpang di rumah saudara-mara.

“Sepatutnya kerajaan negeri serta pihak yang bertanggungjawab memaklumkan perkembangan terkini kepada penduduk dan bukannya setakat mengeluarkan arahan pemindahan semata-mata,” katanya ketika ditemui media selepas bertemu dengan penduduk di Kampung Kebun Baru di sini, hari ini.

Tambah Musa, pihaknya juga akan membantu penduduk terjejas dengan bantuan Kerajaan Pusat melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Kita akan beri bantuan kepada mereka yang terkesan selepas mendapat maklumat lengkap ini kerana pendapatan penduduk terjejas selepas terpaksa menutup perniagaan dan ambil cuti di tempat kerja.

“Selain itu, kontraktor pengurusan tapak pelupusan sampah itu juga perlu mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku termasuk memberikan pampasan penduduk yang terjejas,” ujar beliau.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, sejak 12 Januari lalu.- MalaysiaGazette