MIT

KUALA LUMPUR – Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi penggerak utama untuk Malaysia dalam usaha mencergaskan semula aktiviti perniagaan dalam negara dan antarabangsa bagi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pandemik telah menunjukkan betapa pentingnya perdagangan dan kerjasama antarabangsa selain memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan serantau terjamin.

“Komuniti perniagaan sama ada dalam kalangan pengusaha kecil atau besar digalakkan untuk memanfaatkan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan serta meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai serantau dan global yang ditawarkan oleh perjanjian perdagangan mega ini.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim perdagangan dan pelaburan yang kondusif di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia bakal menjadi penandatangan RCEP yang ke-12 untuk menguatkuasakan perjanjian ini selepas menyerahkan Surat Cara Ratifikasi (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Jan, 2022.

Malaysia akan mula menguatkuasakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia ini pada 18 Mac, 2022 — menyertai 11 negara penandatangan lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei,  Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

MITI berkata, dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar perjanjian RCEP ini dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak US$200 juta.

Tambahnya, menurut laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan pada 15 Dis, 2021, hasil yang diperoleh itu ialah daripada penghapusan dan pengurangan tarif untuk barangan dagangan, termasuk kemudahan eksport dan import barangan di kalangan negara-negara RCEP.

“Selain itu, penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar menerusi peningkatan bekalan rentas sempadan serta menggalakkan keberadaan dan penglibatan mereka dalam pasaran RCEP,” katanya. – MalaysiaGazette