KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019 akan beroperasi pada penggal baharu bulan Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, pembinaan sekolah itu siap sepenuhnya awal minggu ini.
”Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka dan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada bulan Mac nanti,” katanya melalui Facebook.
Radzi berkata, beliau telah memantau projek ini dari semasa ke semasa kerana memahami kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Tambahnya, makluman mengenai pendaftaran murid ke sekolah ini akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette