Home Nasional Elak kongsi video penemuan haiwan liar menerusi media sosial

Elak kongsi video penemuan haiwan liar menerusi media sosial

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video penemuan haiwan liar menerusi media sosial bagi mengelak ancaman pemburu haram.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata, video tersebut sebaliknya perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar menerusi media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi tersebut namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Malam tadi, satu video berdurasi 33 saat tular menerusi media sosial yang memaparkan kemunculan seekor harimau dijumpai seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki tersebut mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak dan kemudian melintas di laluan yang digunakan penduduk kampung.

Loo berkata, pihaknya setakat ini belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung penemuan harimau tersebut.

“Individu yang terserempak dengan harimau sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia bertindak agresif. Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada Perhilitan untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast