KUALA LUMPUR – Setelah hampir tiga tahun menanti akhirnya nasib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan diketahui hari ini membabitkan kes tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan ini juga penting kerana bakal memberi mempengaruhi masa depan karier politik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.
Adakah beliau akan terus terpalit dengan pertuduhan jenayah atau namanya dibersihkan selepas ini?
Tinjauan MalaysiaGazette seawal 7.30 pagi mendapati rata-rata penyokong Ahmad Zahid sudah mula membanjiri luar perkarangan dan kawasan sekitar Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi memberi sokongan moral kepada pemimpin mereka.
Malah rata-rata mereka agak positif dan percaya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah dan berharap mahkamah akan membebaskan beliau daripada semua pertuduhan.
Para pengamal media dalam kalangan tempatan dan juga antarabangsa juga hadir bagi mengikuti perkembangan namun hanya 15 agensi sahaja dibenarkan masuk ke mahkamah menggunakan pas khas.
Manakala jurugambar dan video serta media lain hanya dibenarkan menunggu di ruangan perkarangan dengan SOP yang sentiasa dipantau pihak pengurusan mahkamah.
Ahmad Zahid menaiki kenderaan MPV berwarna putih tiba sekitar 9.05 minit sambil laungan dan teriakan oleh penyokongnya dan sempat berdoa bersama-sama penyokong sebelum masuk ke mahkamah.
Beliau juga sempat melambai dan menegur jurugambar sambil tersenyum bersama-sama ahli keluarga dan pengiringnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Colling Lawrence Sequerah dijangka akan menyampaikan keputusannya pagi ini.
Mengikut pertuduhan Ahmad Zahid, 68, didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 yang mana dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. – MalaysiaGazette