Zulkiflee Rashid (dua dari kiri) bersama-sama anggota polis lain menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM300,000.

MELAKA – Polis memberkas 157 ‘tahi’ dadah termasuk 38 tokan dalam beberapa serbuan berasingan di dua port dadah di negeri ini bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Ia membabitkan nilai rampasan lebih RM330,000, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 dan 64 tahun termasuk 38 pengedar dadah berumur 25 hingga 50 tahun.

Menurutnya, serbuan melalui Ops Tapis Khas itu dijalankan JSJN IPK Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di ‘port’ Krubong dan Apache di Alor Gajah.

“Hasil serbuan di kedua-dua lokasi, kita menahan 157 individu termasuk 38 tokan dadah berusia 19 hingga 64 tahun dan hasil ujian saringan air kencing kesemua mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 1.16 kilogram heroin, syabu (188.64 gram), ganja (129.45 gram), ketamin (4 gram) dan 4.5 liter air rebusan daun ketum keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM60,600.

“Tindakan sitaan turut diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap kesemua 38 pengedar dadah melibatkan wang tunai berjumlah RM10,000, tujuh buah kereta dan 13 motosikal keseluruhannya berjumlah RM269,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK di Bukit Beruang di sini hari ini.

Tambahnya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“JSJN Melaka akan terus membuat operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi mengekang pengedaran dan penagihan dadah di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette