Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia jatuh lima anak tangga kepada kedudukan ke-62 dalam penarafan global Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M) 2021 daripada 180 negara yang dikaji.

Ia merupakan tahun kedua berturut-turut negara mengalami penurunan dalam kedudukan tersebut.

Transparency International (TI) berkata, skor Malaysia jatuh di bawah paras 50 mata kepada 48 untuk 2021, daripada 51 dan 53 masing-masing pada 2020 dan 2019.

Malah, buat pertama kali sejak 2012, dengan skor tersebut Malaysia kini berada dalam kelompok antara 2/3 negara dengan skor di bawah 50.

”Markah dan kedudukan CPI Malaysia telah jatuh sejak dua tahun berturut-turut dan ini jelas menunjukkan kita tidak langsung mencapai kemajuan yang diharapkan tetapi sedang menuju arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi,” katanya.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Singapura (skor 85) dan Brunei (skor 60).

Singapura adalah satu-satunya negara Asia yang berjaya mencapai 10 teratas, menduduki tempat keempat selepas Denmark, Finland dan New Zealand.

Sementara itu, dalam kalangan negara Islam terpilih, Malaysia menduduki tempat keenam selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Brunei, Oman dan Arab Saudi.

Pada tahun ini, Denmark, Finland dan New Zealand menduduki tangga teratas Indeks dengan skor 88 markah, manakala Venezuela, Syria, Somalia dan Sudan Selatan berada di tangga terbawah, dengan markah masing-masing sebanyak 14, 13, 13 dan 11.

TI-M percaya kemerosotan ini berpunca daripada beberapa sebab iaitu antaranya tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan kerajaan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan Hak Asasi Manusia di Malaysia.

Sebagai contoh, Akta Pembiayaan Politik yang dijadual dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini masih belum terlaksana, juga draf Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) kepada versi yang tidak efektif dan dijenamakan semula sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC)

Yang tragisnya, kes-kes kematian dalam tahanan masih berlaku di lokap polis walaupun selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dijalankan pada tahun 2015.

Selain itu, kurang kehendak dalam memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti yang dicadangkan oleh masyarakat sivil pada 2015.

Tafsiran yang terlalu longgar terhadap Akta Rahsia Rasmi yang membawa kepada kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung.

Punca lain, ‘melepaskan tanpa membebaskan’ sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi telah memberikan persepsi negatif tentang perjalanan proses undang-undang di Malaysia.

Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara adalah penting dalam mengurangkan persepsi sedemikian.

Kemajuan yang terhad dalam kemas kini awam mengenai kes berprofil tinggi seperti kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Skandal Air Sabah dan Kapal Tempur Littoral yang masih tergantung dan tiada khabar selanjutnya.

Juga, kekurangan hasil yang boleh diukur dilihat daripada NACP (Pelan Anti-Rasuah Nasional) yang merupakan dokumen komprehensif dengan inisiatif dan sasaran yang jelas.

Memandangkan kejayaan ini terletak pada pelaksanaannya, TI-Malaysia menyeru agar Ketua Setiausaha Negara diberi kuasa untuk memimpin usaha pelaksanaan dan dipertanggungjawabkan dalam memastikan segalanya berjalan lancar.

Namun, malang sekali kemajuan amat terhad dalam hal ini.

TI-M berkata, penggantungan Parlimen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan pakej rangsangan ekonomi yang besar jumlahnya telah diteruskan tanpa perbahasan dan penelitian Parlimen.

Laporan negatif yang berterusan mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah oleh pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang kelihatan berulang-ulang dan tidak diambil tindakan tatatertib.

Gabungan gerakan anti-rasuah global itu menambah, sudah tiba masanya untuk penggubal undang-undang dari kedua-dua pecahan parti politik untuk menyokong tambahan dalam peruntukan Akta SPRM untuk “Salahlaku Penjawat Awam” bagi memastikan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka.

Satu tindakan positif yang dilihat sepanjang tahun 2021 ialah sikap bi-partisan yang ditunjukkan oleh kerajaan persekutuan dan pembangkang Pakatan Harapan apabila mereka menandatangani memorandum persefahaman mengenai pelbagai pembaharuan pada September 2021.

”Situasi yang kita hadapi ini amat membimbangkan dan perubahan menuju kedudukan yang lebih baik adalah sukar melainkan kerajaan mengambil tindakan tegas dan lantang untuk mempercepatkan pembaharuan institusi yang disebutkan di atas.

”TI-Malaysia menyeru kerajaan mengambil langkah tegas dan jelas untuk menangani penurunan skor ini dan menunjukkan komitmen untuk menangani dan memperbaiki skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI,” ujarnya. – MalaysiaGazette