Khairul Anissa kini tular dan mencuri perhatian di aplikasi TikTok selepas berjinak-jinak sebagai pengedar produk jenama Nurraysa.

KUALA LUMPUR – Kekurangan dan kelemahan diri tidak pernah menjadi batu penghalang buat Khairul Anissa Mat Samsuddin atau mesra dipanggil Anisa untuk melakar kejayaan seperti insan sempurna lain.

Dilahirkan dengan masalah penglihatan sejak kecil, wanita  berusia 32 tahun itu mahu membuktikan di sebalik kekurangan diri, dia tetap berusaha mampu mencari rezeki.

Ibu kepada dua cahaya mata ini kini terjebak ke dunia perniagaan dan aktif menjadi pengedar pelbagai jenama produk daripada rangkaian makanan kesihatan hinggalah regim kecantikan.

Terbaharu, wanita berasal dari Klang, Selangor yang menyewa di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur ini tular dan mencuri perhatian di aplikasi TikTok sebagai pengedar produk jenama Nurraysa.

Khairul Anissa mengakui dia rasa malu apabila namanya tular di TikTok.

“Saya tidak mahu berpeluk tubuh mengharapkan simpati dan belas kasihan. Saya nak buktikan biar pun tak nampak, Insya-Allah dengan usaha berterusan pasti ada kejayaan menyusul.

“Namun lumrah di sebalik kekurangan diri itu saya juga terus diadili dengan pandangan skeptikal. Ada yang meragui kebolehan saya untuk menjual itu dan ini. Pernah satu tahap rasa nak menangis dan tinggalkan terus dunia berniaga.

“Tapi saya tak akan dapat apa pun jika terus menyerah dan mengeluh. Pilihan yang ada ialah untuk jadi kuat dan menepis ego dan rasa tak best. Saya fikir, jika tak cari rezeki, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sebagai manusia yang asalnya dilahirkan normal namun 10 bulan selepas itu diserang kanser mata hingga hilang penglihatan, Anisa ada ketikanya bagai hilang punca dihukum dan dikutuk oleh mereka di sekelilingnya.

“Saya sudahlah lahir serba kekurangan, kemudian ditekan pula dengan kata sinis. Tentunya, lagi pedih rasa hati ini. Tapi saya tak minta lahir sebegini.

“Pernah ketika saya menjual produk makanan berasaskan coklat, ada yang komen kasar cakap saya ini sudahlah tak nampak, OKU (orang kelainan upaya)… bersihkah dan terjaga ke kualiti makanan itu.

“Yang pernah meragui tahap halal makanan itu pun ada sedangkan terang terang makanan itu berstatus halal,” katanya.

Ikutkan cabaran dan dugaan Anisa tidak pernah terhenti sehingga saat dia berkahwin dengan cinta hatinya, Muhamad Mazwan Shakir.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata masing masing berusia sembilan dan 14 tahun.

“Keputusan berkahwin saya anggap jodoh yang sudah tertulis. Seperti perkahwinan orang lain, fasa turun naik itu ada. Cabaran utama saya dan suami ketika itu ialah aspek kewangan dan hendak membesarkan anak.

“Dari Selangor, kami selepas berkahwin berpindah ke Port Dickson. Suami ketika itu bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM350. Kami seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur.

“Masa itu, saya dan suami mencari rezeki dengan cara persembahan jalanan atau busking (menyanyi tepi jalan). Ditakdirkan pandemik Covid-19 menyerang dunia. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, kerja busking tidak boleh diteruskan,” katanya.

Ketika hidupnya hampir gelap, timbul cahaya di hujung terowong, penyertaannya sebagai pengedar Nurraysa tanpa diduga membuka pintu rezekinya.

“Saya sebenarnya selalu melihat iklan produk Nurraysa mengajak ramai menjadi pengedar tetapi ia berlalu begitu sahaja dan saya pun tak pernah didedahkan dengan jenama itu.

“Dipendekkan cerita, teman saya mengajak menjadi pengedar jenama itu. Produk pertama yang saya cuba ialah Glowing DD Moist Cake. Saya jatuh hati dengan foundation muka itu dan terus jadi pilihan.

“Saya mencuba nasib berjinak-jinak dengan aplikasi TikTok untuk menjual barangan jenama itu. Selain foundation, saya juga jual gincu Magic Lipstick.

“Tidak sangka pula, saya jadi perhatian di aplikasi itu hingga ramai yang nak membeli selepas menonton video pendek di Tiktok. Tidak menang tangan jadinya mencatat tempahan dan membuat pesanan barang,” katanya.

Tanpa berselindung, Anissa mengakui malu apabila namanya tular di TikTok.

“Rasa macam artislah ibaratnya tapi saya tetap Anisa yang dulu. Yang sentiasa nak buktikan diri ini juga boleh jadi sempurna macam orang normal lain.

“Dalam masa dua minggu, saya berjaya meraih jualan RM1,700. Ia satu pengalaman menyeronokkan. Menjadi pengedar Nurraysa juga mendekatkan saya dengan insan baik-baik.

“Saya sendiri mempunyai ketua dan pengasas yang mesra dengan pengedarnya. Terima kasih Nurraysa,” katanya.

Sementara itu, Nurraysa Global Sdn. Bhd. ditubuhkan sejak 2014 diterajui Nur Aini Zolkepeli dab bermula dengan jualan sabun kolagen, kini jenama itu berkembang dengan penghasilan lebih 50 produk kosmetik, minuman, makanan tambahan, makanan dan pakaian.

Ia mengamalkan sistem dropship yang membantu golongan suri rumah jana pendapatan hanya dari rumah secara percuma dan model bisnes menembusi pasaran bukan hanya di Malaysia tetapi Singapura, Indonesia dan Brunei.

Memasuki tahun baru 2022, founder Nurraysa komited dan berazam untuk bantu 400,000 orang untuk berjaya bebas dari bebanan kewangan melalui kempen NAK
BERJAYA 2022.

Setakat ini, sudah ada 32 papan tanda jenama itu menemani pengguna jalan raya di sepanjang lebuh raya dari Utara ke Selatan dengan tagline Kosmetik Mesra Wuduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast