Bot tersebut ditahan ketika melakukan aktiviti rekreasi dengan menarik penumpang menggunakan payung paracut di Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM)  Pulau Pinang menahan sebuah bot rekreasi kerana didapati tidak mempunyai lese,n selain insurans tamat tempoh di Batu Feringghi di sini, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan dikesan ketika melakukan aktiviti rekreasi dengan menarik penumpang menggunakan payung paracut.

Jelas beliau, mereka ditahan pada kedudukan 0.65 batu nautika utara Tanjung Huma di sini, pada jam 1.05 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 03474X itu dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 49 dan 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah manakala insuransnya pula sudah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, bot serta kru yang ditahan itu dibawa ke APMM Pulau Pinang dan diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insurans tamat tempoh.

“APMM menasihati pengusaha aktiviti rekreasi di laut supaya mematuhi undang-undang negara bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kesalahan atau kecemasan di laut dengan menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang 04 262 6146. – MalaysiaGazette