PDRM
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita, yang juga ahli sebuah parti politik, telah dilengkapkan.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lepas untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan telah dimajukan kepada Bahagian Perundangan untuk mereka meneliti dan kaji hasil siasatan kita,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes gangguan seksual membabitkan ADUN itu.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu termasuk ADUN dan wanita tersebut.

Pada 17 Jan lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Laporan polis mengenai kes itu turut tular di media sosial dan wanita berkenaan mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Bagaimanapun, ADUN terbabit menerusi kenyataan baru-baru ini menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia adalah satu fitnah, konspirasi politik serta cubaan untuk menjatuhkan maruah beliau sebagai ahli politik.

— BERNAMA