Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tujuh sebatan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkat koperal kerana memaksa rakan sekerjanya melakukan seks oral dan mencabul kehormatan wanita itu.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tujuh sebatan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkat koperal kerana memaksa rakan sekerjanya melakukan seks oral dan mencabul kehormatan wanita itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Juhazei Ismail terhadap sabitan serta hukuman penjara.

Kamaludin, yang mempengerusikan panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Mohd Juhazei oleh Mahkamah Tinggi adalah munasabah kerana mahkamah tersebut sudah mengurangkan tempoh hukuman daripada 15 kepada 10 tahun.

“Awak bernasib baik kerana mereka (pendakwaan) tidak mengemukakan rayuan,” katanya kepada Mohd Juhazei.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Juhazei, 35, melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 28 tahun di sebuah parkir di Setia Alam, Shah Alam, Selangor antara 9.30 dan 10 malam pada 3 Okt 2017.

Pada 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Juhazei bersalah atas kedua-dua pertuduhan serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan kerana melakukan seks di luar tabii serta penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi kesalahan mencabul kehormatan mangsa.

Mahkamah Tinggi pada 2020 telah menolak rayuan Mohd Juhazei terhadap sabitan namun membenarkan tempoh hukuman penjaranya dikurangkan.

Bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii, hukuman penjara Mohd Juhazei dikurangkan kepada 10 tahun manakala bagi kesalahan mencabul kehormatan, tempoh hukuman penjara dikurangkan kepada lima tahun.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun mengekalkan hukuman tujuh sebatan ke atas tertuduh.

Mohd Juhazei diperintah menjalani hukuman penjara secara serentak dan ini bermakna dia hanya menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Tertuduh diwakili peguam Charan Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim hadir bagi pihak pendakwaan.- BERNAMA