STOCKHOLM – Sweden telah memutuskan untuk tidak mengesyorkan pengambilan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan memberi alasan bahawa faedahnya tidak melebihi risiko.

“Dengan pengetahuan yang kami ada hari ini, dengan risiko rendah untuk penyakit serius kepada kanak-kanak, kami tidak nampak apa-apa faedah yang jelas dengan memberi vaksin kepada mereka,” kata pegawai Agensi Kesihatan, Britta Bjorkholm pada sidang akhbar.

Ujar beliau, keputusan itu boleh dikaji semula apabila dapatan penyelidikan berubah dengan varian baharu mengubah wabak itu.

Sementara itu, Sweden mencatatkan lebih 40,000 kes baharu kelmarin, antara jumlah harian tertinggi semasa penularan wabak itu dengan gelombang keempat menyaksikan kes jangkitan harian terus meningkat.

Semalam, seramai 101 pesakit Covid-19 memerlukan rawatan rapi, jauh lebih lebih rendah berbanding 400 pesakit semasa musim bunga 2021.

Secara keseluruhan, hampir 16,000 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Sweden sejak wabak itu bermula.

Pada Rabu lalu, kerajaan Sweden melanjutkan sekatan, termasuk mengehadkan waktu operasi restoran selain mengehadkan kehadiran untuk tempat tertutup selama dua minggu namun berharap ia akan ditarik balik pada 9 Februari. – Reuters

CNA NEWS-https://www.channelnewsasia.com/world/sweden-decides-against-recommending-covid-19-vaccines-kids-aged-5-12-2464301