Annuar Musa

JOHOR BAHRU – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan antara strategi kluster mahkamah dan mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak tepat, serta berkemungkinan tidak berasaskan maklumat yang sahih.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan PRN di Johor adalah untuk kepentingan rakyat, dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad juga tidak membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersendirian, sebaliknya dengan rundingan pelbagai pihak serta diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Pada saya itu hanya pendapat (Abdul Hadi), bukan fakta, mungkin pandangan itu kemungkinan juga ia berasaskan sumber-sumber maklumat yang tidak sahih.

“PRN ini berlaku bukan sebab kluster mahkamah, ia berlaku setelah Menteri Besar merasakan Johor tidak harus berada dalam situasi yang boleh merencatkan usaha-usaha pembangunan dan tugas kerajaan kerana negeri berpotensi tinggi, serta keadaan di mana pembangkang dan kerajaan sama banyak kerusi jarang berlaku dalam dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di RTM Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Che Roslan Che Daud.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi berhubung PRN Johor.

Justeru Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, semua pemimpin parti, diharapkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan serta perlu menghormati keputusan Johor untuk melaksanakan PRN.

“Kita perlu terima realiti dalan keadaan sekarang, bukan sahaja darurat kesihatan, darurat ekonomi, kita juga mengakui politik kita dalam keadaan yang tidak stabil, harus tangani berasaskan kebijaksanaan dan belum ada satu formula berasaskan seluruh negara, Sabah lain, Johor lain, Kelantan lain.

“Jadi kita perlu hormati suara orang Johor, dan orang Johor lebih tahu apa yang terbaik, jadi lagi kurang keluarkan kenyataan yang merenggangkan, saya rasa lagi baik,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata, kerjasama secara dasarnya harus diteruskan semua pihak atas kepentingan rakyat, seperti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus memerlukan dokongan daripada Pas, Bersatu serta parti pembangkang.

“Kerana peringkat nasional ada tugas berat yang mesti dilaksanakan, itu formula sesuai yang kita akan terus dokong di kerajaan pusat, di negeri pula berbeza. Jadi biar Johor buat pertimbangan berasaskan kepentingan rakyat, kita di pusat pula terus membantu.

“Jadi pada saya tiada apa-apa salahnya dan insya-Allah PRN Johor akan berjalan baik ikut prosedur operasi standard, tanpa perlu merenggangkan hubungan politik antara parti. Jadi yang lain-lain itu kita cuba duduk, bincang jangan terlalu emosi dan jangan buat tuduhan-tuduhan menyinggung dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan berkata, tindakan segelintir pemimpin UMNO yang enggan bekerjasama bersama Pas pada PRN Johor, disifatkan seperti tidak bermoral selepas bersama membentuk gabungan Muafakat Nasional.

Beliau dipetik sebagai berkata strategi untuk melaksanakan PRN juga adalah bukan strategi yang baik, tetapi dilakukan segelintir pihak serta mendakwa ia merupakan strategi kluster mahkamah, kluster kalah PRU14 dan mereka yang tiada jawatan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. TETAPI umNO bangkit seperti melepaskan anjing tersepit dan tak dapat tanduk telinga dipulas….

    DENDAM KESUMAT BENCI MEMBENCI GILA KUASA SINONIM DALAMNYA
    Sepatutnya sama2 membuang yang KERUH dan ambil yang JERNIH….MUAFAKAT BAWA BERKAT

    penyatuan ukhwah bukan kerana agenda politik sempit..TETAPI lebih jauh dari itu sebagai perentah ALLAH dan mencari RahmatNya….berpegang TEGUH KEPADA TALI ALLAH dan tidak kamu berpecah belah….dan jadilah kamu golongan yang membawa arah kebaikan dan bukan golongan membawa keburukan dan kejahatan

    PENAWAR ubat bukan dari PAS….tetapi ALQURAN DAN HADIS

Comments are closed.