KUALA LUMPUR – AirAsia X (AAX) akan menyambung semula perkhidmatan komersialnya antara Kuala Lumpur dan Sydney bermula 14 Februari.
Syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan penebusan akaun kredit kepada para tetamu yang terjejas oleh penstrukturan semulanya.
Para tetamu AAX boleh menempah semula penerbangan mereka dengan menggunakan akaun kredit.
Sebagai permulaan, penerbangan akan dikendalikan setiap minggu pada hari Ahad dari Kuala Lumpur ke Sydney dan kembali pada hari Isnin bermula 14 Februari 2022 hingga 22 Mac 2022.
Menurutnya, jadual penerbangan untuk sesi musim luruh / musim sejuk akan diumumkan pada pertengahan bulan Februari.
Nikmati tambang dari Kuala Lumpur ke Sydney bermula daripada RM1,399 sehala termasuk semua untuk tempat duduk Ekonomi atau nikmati Premium Flatbed daripada RM3,999.
Dari Sydney ke Kuala Lumpur pula, tambang penerbangan bermula daripada AUD399 dan Premium Flatbed daripada AUD1,299. Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon ‘Flights’ di airasia Super App atau laman web.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, sementara menantikan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur di seluruh dunia pada 2022, syarikat penerbangan ini kembali ke Australia terlebih dahulu kerana ia adalah salah satu pasaran yang paling popular. – MalaysiaGazette