Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Sebanyak 1,163 kemalangan direkodkan di Selangor sepanjang pelaksanaan Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 sejak Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah kemalangan itu menunjukkan penurunan kes sehingga 29.5 peratus berbanding operasi sama yang dilakukan dalam Op Selamat 16 pada 2020.

“Dalam tempoh tiga hari operasi yang kita lakukan pada Op Selamat 17 kali ini terdapat 1,163 kemalangan berlaku berbanding 1,649 kemalangan pada Op Selamat 16 pada Tahun Baharu Cina 2020.

“Jadi ini menunjukkan penurunan setakat ini perbandingan bagi tempoh sama sebanyak 486 kes atau 29.5 peratus,” katanya pada sidang media di bekas Plaza Tol Sg Rasau, Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat.

Dalam pada itu, Polis Selangor juga merekodkan penurunan jumlah kemalangan maut dalam operasi sama setakat ini.

“Kemalangan maut juga menunjukkan penurunan daripada 11 kepada enam kes setakat ini.

“Kita mengharapkan yang terbaik supaya tidak ada lagi kemalangan yang berlaku selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arjunaidi juga berkata, tiada sebarang kes pecah rumah mahupun premis perniagaan dilaporkan setakat hari keempat pelaksanaan Op Selamat 17, hari ini.

“Sepanjang tempoh ini, belum ada lagi rumah yang dilaporkan dipecahkan.

“Malah setakat ini juga belum ada pemilik rumah yang melaporkan kepada kita bercuti di kampung.

“Kita mengharapkan tiada kejadian itu berlaku sepanjang musim perayaan ini.

“Untuk tujuan itu, kita telah meningkatkan rondaan pencegahan jenayah ke rumah-rumah yang ditinggalkan sepanjang musim cuti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast