Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang (kiri) melawat Pusat Intelligent Operations Centre (IOC) MBPP bagi memastikan pemantauan lalu lintas serta keadaan semasa melalui Televisyen Litar Tertutup (CCTV).

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan pemantauan lalu lintas dan penguatkuasaan anti-liter di semua kawasan pelancongan dan kawasan sasaran (hotspot).

Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP berkata, pemantauan dan penguatkuasaan itu dilakukan sepanjang tempoh cuti umum perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan sehingga 4 Februari ini.

Katanya, ia susulan ramai pelancong tempatan akan melawat dan bercuti di bahagian pulau seperti sekitar Georgetown, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Batu Feringghi, Air Itam, Bayan Lepas dan Balik Pulau.

“Kita jangkakan sekitar bahagian pulau akan menghadapi kesesakan lalu lintas selain kuantiti sampah sarap yang dijangka meningkat susulan daripada kegiatan domestik dan pelancongan.

“Pemantauan dan penguatkuasaan anti-liter akan dijalankan terutama di semua kawasan pelancongan dan kawasan sasaran (hotspot).

“Semua tugasan pemantauan akan dilakukan secara rondaan pengawal dan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Intelligent Operation Centre (IOC) MBPP,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, bagi membantu mengawal keadaan di kawasan seliaan MBPP, arahan pembekuan cuti rehat sepanjang tempoh berkenaan bagi semua Ketua Jabatan, pegawai dan staf jabatan yang terbabit dengan perkhidmatan perlu.

Katanya, jabatan yang terbabit dengan pembekuan cuti rehat bagi jabatan perkhidmatan perlu dan petugas barisan hadapan termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perlesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Lanskap yang terdiri daripada 2,342 kakitangan atau 77.58 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja MBPP.

“Petugas Pasukan Skuad Pantas MBPP juga bersiap sedia menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku seperti pokok tumbang dan sebagainya.

“Orang awam dinasihati supaya merancang perjalanan, memandu secara berhemah, tidak meletakkan atau memberhentikan kenderaan di kawasan larangan dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Sebarang aduan boleh disalur kepada talian MBPP 04-2637000, sistem e-aduan MBPP atau aplikasi WhatsApp Aduan MBPP 016- 2004082. – MalaysiaGazette