Air sungai bertukar warna putih dipercayai berpunca daripada kilang makanan di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Sebuah kilang makanan dikompaun RM10,000 semalam, selepas didapati melepaskan sisa tanpa rawatan ke parit awam hingga menyebabkan berlaku pencemaran di daerah Seberang Perai Utara di sini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa air sungai bertukar menjadi warna putih.

Sharifah Zakiah.

“Bertindak atas aduan itu, pihak JAS menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

“Penjejakan dibuat menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat yang seterusnya membawa kepada pemeriksaan ke atas salah satu kilang berasaskan makanan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan effluen perindustrian dengan baik hingga mencemarkan parit awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan effluen perindustrian dengan baik.

Tambah Sharifah Zakiah, susulan itu pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 kepada pemilik kilang yang didapati gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009.

“Pihak premis juga diarah memberhentikan sebarang pelepasan effuen tanpa dirawat dan menutup semua pintasan yang dipasang secara haram di dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.

“Selain itu, pihak kilang turut diarah menaik taraf sistem pengolahan effluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005,” ujar beliau. – MalaysiaGazette