Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menyaksikan kekurangan bekalan ayam segar yang ketara jika kerajaan terus melaksanakan kawalan harga ayam tempatan.

Ini kerana, industri ayam tempatan sudah mengalami kerugian besar susulan langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuatkuasa Sabtu ini hingga 5 Jun ini.

Sumber dalaman industi berkata, intervensi tersebut telah mengakibatkan penternak-penternak tempatan rugi sebanyak 50 sen bagi setiap kilogram ayam tempatan yang dijual di ladang.

Sedangkan pada masa sama kos dedak ayam sudah meningkat sebanyak RM34 seguni bagi sejak tahun lalu.

MalaysiaGazette difahamkan kos harga ayam ladang semasa adalah sebanyak RM6.50 dan kerajaan menuntut supaya harga ayam dikurangkan sebanyak 20 sen lagi.

Ini bermakna penternak kerugian 50 sen setiap sekilogram mengambil kira kos-kos yang perlu ditanggung.

“Kalau kos naik tetapi kerajaan tetap meminta harga ayam diturunkan apa pilihan yang penternak ada. Logiknya jika anda seorang penternak yang terpaksa menanggung kos ladang, pekerja dan makanan ayam, adakah anda akan terus menanggung kerugian, kehilangan modal untuk memenuhi harga yang ditetapkan oleh kerajaan?

“Oleh itu, penternak sudah ‘give-up’,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Disebabkan situasi ini, sumber berkata, 45 penternak ayam tempatan di Perak sudah menutup ladang masing-masing.

Dikhuatiri jumlah ladang ayam yang bakal ditutup terus bertambah dalam masa terdekat.

Jelasnya, penternak tempatan kesal dengan langkah kawalan harga ayam oleh kerajaan ketika satu dunia mengalami inflasi akibat kenaikan harga barang.

Apatah lagi, industri ayam adalah industri matang, oleh itu para peserta tidak lagi memberi sebarang subsidi lagi tetapi harga ayam ditetapkan oleh kerajaan, ujar sumber.

Sumber mempersoalkan mengapa ketika harga ayam tidak dibenar dinaikkan tetapi kerajaan menetapkan kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula awal bulan ini.

Dalam nada kecewa, sumber berkata, adakah industri ayam yang bukan melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC) maka ia tidak berhak diberi pertimbangan untuk kenaikan selayaknya.

“Harga ayam tak boleh naik, tetapi pada masa sama kami perlu menanggung kenaikan harga elektrik? Macam mana dengan survival kami, sudah rugi, bertambah rugi lagi.

“Tetapi kami tidak ada pilihan kalau tidak ikut arahan kerajaan kami boleh didakwa. Berbaloikah kami jika didakwa? Sudahlah rugi, kena dakwa pula,” katanya.

Sumber berkata, keadaan semasa kemungkinan besar menyebabkan lebih banyak industri ayam tempatan akan ‘tutup kedai’.

“Kalau kami teruskan, kami rugi. Siapa yang mahu rugi, siapa yang sanggup kehilangan modal?,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, sumber membayangkan, penutupan industri ayam tempatan pastinya akan memberikan impak besar kepada rantaiannya kerana ia melibatkan pemborong  peruncit dan kilang dedak.

“Tapi tak mengapalah kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pun tidak menyokong industri tempatan apabila menyatakan jika bekalan ayam tempatan berkurangan maka akan membawa masuk ayam import.

“Jadi terpulanglah kerana pengimportan ayam ini selalunya mencetuskan dua isu besar dari segi halal walaupun ada agensi-agensi yang memantau dan kesegaran ayam itu sendiri,” katanya sambil memberitahu ayam import memerlukan sekurang-kurangnya satu bulan setengah untuk dibawa ke Malaysia kerana isu logistik.

Tempoh itu, menurut sumber tidak termasuk bilangan hari yang perlu diagih-agihkan ke pasar raya. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Terlalu banyak iklan yg suka menganggu pembacaan artikel,
    Banyak jenis tampalan diletakkan ,ayat tertutup tak bolih baca,
    Minta kerjasama .

  2. Betul. Iklan die dh mcm nk baca porn. Silap klok kluar, atas bawah, kiri kana. Dh la surat khabar mcm dh tak wujud, nk baca news kat dlm ni pun mcm nk kena baca secretly. Then tgh nk taip pulak ada je video masuk tutp kotak comment yg tgh nk ditaip ni.

    Kesian penternak ayam. Naik rege lain, x leh naik harga ayam. Saya buyer juga and fahamla kalau jarga ayam naik.

  3. Kerajaan sepatutnya bukan hanya mengawal harga ayam tempatan tetapi kerajaan juga mesti mengawal harga makanan ayam. Makanan ayam yg diimport tinggi kerana pengimport mengambil keuntungan yg tinggi keatas harga makanan ayam dan juga kemungkinan cukai yg dikenakan juga tinggi. Kerajaan juga sepatutnya mencari alternatif lain dengan memproses makanan ayam dalam negara kerana negara kita mempunyai sumber bumi sendiri.

  4. saya awal tutup,psal x untung buat apa nk bela klu rugi,kandang dh modal ribu ayam rugi sapa nk..

  5. Oklan ni lah punca pendapatan website ni untuk meneruskan operasi. Kalautak buat iklan, kita kena lah bayar 1.20 sama seperti harga newspaper.

Comments are closed.