Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin ketika sidang media sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19 anjuran Persatuan Masjid India Business Association (MIBA) dan IPD Dang Wangi di pekarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik komitmen kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk menyelesaikan isu bekalan dan pengeluaran makananan terutamanya ayam dan telur ayam.

Presidennya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin juga mengalu-alukan keputusan kerajaan membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) dan pembukaan AP kepada pengusaha-pengusaha pasar raya besar.

Katanya, kerajaan mengambil sikap prihatin dengan menetapkan harga maksimum runcit ayam serta mengurangkan sebanyak 20 sen menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

“Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera.

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri ini jelas menyatakan keseriusan beliau menangani isu kenaikan harga barangan yang berlaku sedang di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kata Ameer Mydin lagi, pihak persatuan juga akan terus komited dalam memastikan aspirasi kerajaan bagi memastikan harga kawalan barangan dapat sentiasa dicapai.

“Ini juga seiring bagi rakyat dan peniaga dapat manfaat seiring dengan keputusan yang telah dibuat tersebut,” ujarnya. -MalaysiaGazette