Seorang lelaki mait dipukul empat suspek dalam kejadian di Me

MERSING – Seorang lelaki maut selepas dipukul dipercayai dalam pergaduhan berkaitan dadah di Jalan Datuk Onn Mersing Kanan jam 7.15 pagi tadi.

Menurut  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinanin Jais, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan dua saksi menunjukkan mangsa berusia 37 tahun itu telah diserang tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara.

Katanya, empat suspek dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan salah seorang bertindak sebagai pemandu.

“Mungkin ada perbalahan di antara mereka berkaitan isu dadah atau pun apa-apa maklumat berkaitan isu dadah di antara mereka,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing hari ini.

Mengulas lanjut, Shahurinanin berkata, dua suspek masing-masing berusia 31 dan 32 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan itu telah ditahan di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 minit petang tadi.

Kedua-dua tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Kota Tinggi esok bagi mendapatkan perintah reman.

Tambah beliau, motif pergaduhan dipercayai akibat perbalahan berkaitan dadah.

Punca kematian dipercayai akibat kecederaan parah di tengkuk dan pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui senjata yang digunakan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru esok bagi proses bedah siasat.

Maklumat awal mendapati mangsa dan keempat-empat saspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette