Tangkap layar menunjukkan seorang lelak sedang bergaduh dengan pekerja sebuah restoran nasi kandar di Batu Maung, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki bergaduh dengan dua pekerja sebuah restoran nasi kandar di Batu Maung di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja restoran itu berhubung pertengkaran tersebut.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada Sabtu lalu.

“Siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 31 saat yang menunjukkan seorang lelaki sedang bertengkar dengan dua pekerja restoran nasi kandar.

Berdasarkan klip rakaman video itu, lelaki berkenaan mendakwa pekerja restoran kurang memberi baki wang daripada bil asal makanannya selain bersikap biadap ketika dia meminta penjelasan berkaitan itu. – MalaysiaGazette