Matheus Alves. Foto Facebook Negeri Sembilan FC.

KUALA LUMPUR – Kehadiran bekas penggempur Pahang pada musim 2017, Matheus Alves membuktikan Negeri Sembilan FC cukup serius dalam memberikan cabaran dalam pentas Liga Super musim ini.

Itu keazaman daripada ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan selepas gembira mendapatkan seorang penyerang yang terbukti berpengalaman di Liga Malaysia selain masih berada di tahap prestasi terbaik.

Dia optimis Alves mampu memberi impak terhadap kualiti serangan Negeri Sembilan selain dibantu pemain-pemain tempatan seperti Zaquan Adha dan Sean Eugene Selvaraj.

“Alves pernah bermain dengan Pahang pada musim 2017 dan jika kita melihat pada statistik semasa bermain di sana, banyak gol yang dia telah hasilkan.

“Selepas itu dia ada pengalaman bermain dua musim di Thailand sebelum ke Korea Selatan, bermain untuk K League 2 dan jelas dia masih berada di tahap terbaik.

“Melalui jaringan-jaringan yang dihasilkan, saya lihat dia ada kualiti seorang penyerang yang dimahukan iaitu bertubuh besar, laju dan kuat dari segi fizikal.

“Atas sebab itu, kami memilih Alves datang ke sini kerana bukan sahaja pengalaman bermain di Liga Malaysia tetapi berdasarkan keupayaannya beraksi di tahap kompetitif, ” katanya.

Alves menjaringkan 18 gol pada saingan Liga Super untuk Pahang, berada di tempat kedua di belakang Mohamad Ghaddar yang muncul penjaring terbanyak pada musim itu dengan 23 gol.

Selepas meninggalkan Pahang, penyerang berusia 29 tahun itu pernah beraksi di Korea bersama Suwon FC di K League 2 sebelum ke Liga Thailand bersama Chonburi secara pinjaman di pertengahan musim.

Pada musim 2019, dia terus kekal di Thailand bersama PT Prachuap dengan musim berikutnya ke Police Tero dan musim lalu, dia sekali lagi ke Korea bersama Chungnam Asan di K League 2.

Selain Alves, Negeri Sembilan turut menyambar semua import baharu bagi melengkapkan kuota lima pemain yang dibenarkan seperti Kossi Adetu (Ghana), David Omid Nazari (Filipina), Herold Goulon (Perancis) dan David Mawutor (Ghana).

“Kita mahu kekal lama di Liga Super kali ini, disebabkan itu kami buat keputusan hanya 12 pemain sahaja dari musim lalu dikekalkan.

“Sebahagian besar pemain baharu adalah yang berpengalaman beraksi di Liga Super serta semua pemain import adalah muka baharu.

“Kami di barisan kejurulatihan telah membuat kajian dan penyelidikan dalam pemilihan pemain import, bagi mendapatkan yang betul-betul boleh beri impak kepada pasukan, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast