Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor Bharu. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 FABRUARI 2022.

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yakin kerusi milik DAP itu akan tumbang tidak lama lagi.

“Kita akan pastikan calon itu (Sheikh Umar Bagharib Ali) akan mendengar paluan gendang terakhir buat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat di sini malam tadi.

Pelancaran dilakukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“Apa yang diumumkan itu paluan gendang pertama dan menyifatkan akan mendengar gendang paluan terakhir buat DAP bila saya diminta menyelaras kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, PRN Johor dilakukan bukan kerana apa yang berlaku di PRN Melaka mahu pun di PRN Sarawak sebaliknya demi mahu menjadikan Johor lebih baik daripada apa yang ada ketika ini.

Menurutnya, BN perlu membentuk kerajaan yang lebih stabil dan bukan berterusan mengharapkan ihsan pembangkang.

Beliau dalam ucapannya juga turut mengingatkan dirinya dan ahli-ahli parti lain agar tidak bongkak dengan apa yang dimiliki hari ini.

“Johor bukan negeri biasa-biasa. Johor bukan negeri yang perlu dirujuk kepada pembangkang sekiranya mahu melakukan sesuatu,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sheikh Umar jadi calon PH pertahan DUN Paloh