PUTRAJAYA – Ahli-ahli Parlimen telah diberi surat pemberitahuan mengenai Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Surat itu diedarkan bermula hari ini dan sidang khas berkenaan dimulakan dengan kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia diikuti sesi perbahasan yang akan menyaksikan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan mereka sebelum ia digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di kementeriannya, di sini, hari ini.
Pada Selasa lalu, Anwar mengesahkan Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan isu tarif timbal balas AS terhadap negara ini.
Zafrul akan berlepas ke Washington untuk mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer serta beberapa pegawai kerajaan lain bagi membincangkan cadangan tarif berkenaan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan, tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.
Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia kecuali China.
Ditanya mengenai jangkaan hasil lawatan Tengku Zafrul ke Washington, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, ia perlu menanti laporan ke Kabinet selepas tamat lawatan tersebut.
“Perdana Menteri memaklumkan Menteri MITI dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berada di Washington dan beberapa hari ini mereka akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari AS bagi membincangkan perkara tersebut.
“Kita tidak boleh jangkakan apa yang akan diumumkan, perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















