Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang diadakan polis sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tujuh remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Remaja berkenaan adalam dalam lingkungan 17 hingga 22 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi yang berakhir hari ini selepas diadakan dua hari sejak Jumaat lalu turut menangkap 13 lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Lelaki berumur 28 hingga 50 tahun itu ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen Seksyen 42 (1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Polis turut dikeluarkan 3, 144 saman pelbagai kesalahan, kata Sarifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, sebanyak 35 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal. Dalam operasi yang sama pihak JSPT KL telah berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar ( JAS ), Kuala Lumpur dan telah mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap penunggang motosikal yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya lagi.

Terdahulu Sarifudin berkata, operasi berkenaan diadakan di beberapa kawasan di ibu negara iaitu pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan 10 pegawai kanan JSPT KL dan 70 anggota biasa.- MalaysiaGazette