Papan tanda "Ekspo 2020" di pintu masuk ke tapak pameran di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. foto Getty Images

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama-sama agensi di bawah seliaannya iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) berjaya menarik potensi pelaburan dengan anggaran nilai RM5.8 bilion pada Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai.

Daripada jumlah tersebut, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion adalah melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai iaitu antara syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. dengan syarikat March Global LLC daripada Arab Saudi untuk pembangunan projek solar berskala besar di Timur Tengah, Afrika dan rantau Asia yang dijangka menjana pelaburan bernilai RM4.2 bilion.

Manakala MoU antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG daripada Jerman, yang akan membekalkan teknologi dan peralatan bagi pembangunan penjanaan loji jana kuasa biogas, dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM20 juta.

Selebihnya iaitu RM1.6 bilion diperolehi melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat-syarikat asing yang turut menghadiri Ekspo 2020 Dubai.

Minggu ke-18 Ekspo ini juga menyaksikan syarikat Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. melancarkan Concord Biogas Cube Srubber System yang merupakan produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat tersebut sendiri yang berpotensi untuk diperluaskan ke negara-negara lain.

Selain itu, wakil-wakil industri dari Malaysia iaitu PEetronas, Gading Kencana Sdn. Bhd. dan Concord Renewable Energy Sdn. Bhd. turut menyertai sesi perkongsian maklumat mengenai potensi-potensi perniagaan dan peluang pelaburan terutamanya dalam bidang tenaga lestari di Malaysia.

Delegasi KeTSA dan syarikat-syarikat turut mengambil peluang mengadakan kunjungan rasmi ke pavilion Emirates National Oil Company (ENOC) dan Dubai
Electricity and Water Authority (DEWA) bagi berkongsi pandangan mengenai strategi serta pelaksanaan usaha-usaha peralihan tenaga. – MalaysiaGazette