KUALA LUMPUR – Aktres Fasha Sandha mengakui suaminya, Aidil Aziz telah memintanya untuk hamil lagi tahun ini.
Bagaimanapun, kata pemilik nama penuh, Nur Fasha Sandha Hassan itu dia belum bersedia untuk berbadan dua sekali lagi.
Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma. Manakala perkongsian hidup dengan Aidil, mereka dikurniakan Aisha Amaira.
“Saya memang sukakan kanak kanak sejak zaman anak dara lagi. Dulu kalau ada masa lapang, saya sanggup angkut anak jiran bawa jalan ke sana ke sini.
“Tapi sekarang, cukuplah dulu ada tiga anak. Nak tambah lagi anak… lambat lagi. Aidil memang cakap nak ‘baby boy’ pula tahun ini.
“Tapi sejujurnya, saya belum bersedia. Saya sibuk dengan komitmen seni dan duta produk,” katanya yang baru-baru ini dilantik duta produk atau pengguna setia produk serbuk Vitamin C Gebu Glow.
Sambil berseloroh, kakak kepada Elisya Sandha itu berkata, golongan suami hanya tahu ‘meminta’ saja.
“Suami ini tahu minta saja, tapi yang usung kandungan sampai sembilan bulan … orang perempuan juga.
“Tapi andai Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya terima. Saya baru 37 tahun. Mungkin sebelum masuk usia 40, saya boleh beranak lagi. Mujur suami memahami,” katanya.
Dalam pada itu, Fasha terus kekal menjaga disiplin dan komitmen kerja sebagai kunci survival seninya yang sudah lebih 16 tahun.
Pendek kata, rutin hariannya sebagai manusia, ibu, isteri dan anak bermula sesudah waktu Subuh.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah lewat sepanjang tempoh 16 tahun dalam kerjaya seni. Mungkin juga kerana saya bermula sebagai seorang model sejak usia 18 tahun.
“Ketika itu, kebanyakan ‘call time’ bermula sekitar 4 atau 5 pagi. Orang sedap tidur kami sudah mula bertugas memulakan solekan dan sebagainya.
“Jadi, mungkin sudah terbiasa dan terbawa-bawa sampailah sekarang. Saya suka bermula awal pagi. Walaupun saya pulang lewat macam mana pun dan tak cukup tidur, saya tetap akan cuba bangun awal,” katanya yang mengakui ‘mengunci’ jam pada tiga telefon bimbit supaya tidak terbabas untuk bangun pagi.
Kata pelakon filem Cicakman itu lagi, dia turut menurunkan tips dan nasihat yang sama kepada Elisya.
“Saya selalu ingatkan Elisya supaya jaga waktu. Jika dia terlambat, dia akan memberi kesan kepada nama saya. Tetapi Alhamdulillah, Elisya sangat mendengar kata.
“Saya juga selalu berpesan kepadanya supaya jangan berlagak diva. Ada rezeki lebih belanja kru makan. Itu cara juga untuk disenangi ramai,” katanya.
Dilantik sebagai duta produk diusahakan adik beradik, Wawa dan Awien itu, Fasha mengakui memuji usaha mereka mahu membantu golongan wanita khususnya termasuk suri rumah dan ibu tunggal.
“Saya dan adik beradik sebelum ini hidup susah melihat pergelutan mama membesarkan kami sendirian tanpa ayah di sisi. Mama terpaksa kerja siang dan malam untuk menyara kami hingga jadi orang berguna.
“Saat teringat kenangan lalu, saya terpanggil membantu mereka (Wawa dan Awien). Mereka pun tak boleh bayar tinggi sebab nak tolong agen bergelut di era pandemik. Saya okey kerana faham niat mereka yang nak bantu.
“Jadi awalnya saya tak letakkan harga kebiasaan kerana niat nak tolong. Cuma saya minta mereka jangan dedahkan harga dipersetujui. Segala galanya dipermudahkan hingga mereka melantik saya jadi duta.
“Pada akhirnya kalau sebut perihal ibu tunggal, saya teringat perjuangan mama. Saya pun pernah jadi ibu tunggal, tapi perjalanan dan liku hidup kami berbeza. Mama jadi inspirasi. Kalau ada duit lebih, kongsi dengan orang susah dan ia sangat berkat,” katanya.
Mengenai perkembangan seni, Fasha kini rancak membintangi drama arahan Radius One Sdn Bhd.
Malah selepas kali pertama membintangi drama Scammer Mei tahun lalu di Astro Ria, jodohnya terus melekat dengan produksi berkenaan.
Ia diikuti dengan drama Khilaf Asmara bergandingan dengan Fahrin Ahmad, Nelydia Senrose dan Fattah Amin.
Seterusnya diikuti drama 80 episod yang masih melunaskan baki penggambaran iaitu Dendam Seorang Isteri buat kali pertama bergandingan dengan Nad Zainal.
Malah situasi itu menyebabkan bertebaran kisah kononnya dia anak emas produksi terbabit namun Fasha menafikan perkara itu. – MalaysiaGazette