KL Hujan
Pemandangan suasana matahari terbenam di ibu kota selepas hujan berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bukit Ampang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Malaysa perlu bersiap sedia untuk menghadapi keadaan cuaca yang ekstrem seperti taufan kerana negara ini memang pernah dibadai angin itu.

Ketua Pengarah Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata,  Malaysia pernah mencatatkan dua kejadian taufan iaitu Ribut Greg yang membadai Sabah pada 26 Disember 1996 dan Vamei yang melanda selatan Johor pada 26 Disember 2001.

Beliau bagaimanapun berkata, lekukan tropika yang menyebabkan banjir besar di Selangor baru-baru ini membawa hujan lebat, tetapi bukan angin sekuat Ribut Greg dan Vamei.

Muhammad Helmi berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas pertanyaan sama ada lekukan tropika yang berlaku bermaksud Semenanjung berkemungkinan akan dibadai taufan.

Katanya, Malaysia memang harus bersedia menghadapi taufan kerana negara ini pernah dibadai.

Mengenai lekukan tropika pula, beliau berkata, dua kejadian telah direkodkan dalam tempoh 10 tahun iaitu pada 8 November 2017 dan dari 17 Disember hingga 18 Disember 2021.

Jelasnya, adalah tidak lazim untuk lekukan tropika beralih ke darat melainkan berlaku luruan angin timuran yang berasal dari Tanah Besar China seperti yang berlaku pada 16 Disember tahun lalu.