Bendera pakatan harapan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan terus memasukkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC dalam manifesto pilihan rayanya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, Jawatankuasa Khas Mengenai UEC telah menghabiskan kajian mengenai peperiksaan itu, tetapi malangnya laporan itu tidak sempat dibentangkan kerana kerajaan PH telah tumbang.

Teresa berkata, walaupun beliau tidak mengetahui kandungan laporan kajian itu, tetapi isu UEC menyebabkan DAP “dihentam” di media sosial.

Katanya, DAP sebenarnya berharap laporan kajian berkaitan UEC itu boleh diumumkan secepat mungkin.

“Apa yang kami mahu adalah sesuatu yang kaum Melayu tidak mahu, oleh itu macam mana kami harus merangka formula yang boleh diterima semua pihak? Isu ini kini telah dibiarkan begitu sahaja.

“Begitu juga halnya dengan siasatan kehilangan Pastor Raymond Koh yang dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Dalam wawancara itu, Teresa juga ditanya kemungkinan berlaku kerjasama antara DAP dan UMNO selepas pilihan raya umum.

“Mengenai hal kerjasama dengan UMNO, mereka (UMNO) sendiri yang bercakap dalam perhimpunan agung untuk menolak DAP dan menolak Anwar.

“Ini perkataan dari mulut mereka (UMNO) dan kami tidak mungkin memberitahu ‘I love you’ dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Tambahnya, masyarakat Melayu termasuk mereka yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sukar melepaskan syak wasangka terhadap DAP dan kaum Cina.

“Oleh itu, kami nampak beliau (Anwar) ‘bertaici’ semasa bercakap dan beliau memang pakar dalam bahasa diplomasi untuk melindungi diri,” katanya.

Teresa bagaimanapun juga percaya perubahan besar sedang berlaku dalam politik Malaysia dengan kebangkitan Warisan dan MUDA.

Katanya, walaupun MUDA hanya mempunyai sorang Ahli Parlimen pada masa ini, tetapi parti itu mampu menghasilkan ombak-ombak politik yang kencang. – MalaysisaGazette