Temel Kotil

ANKARA – Turkish Aerospace Industries (TAI) sedia menerima pembayaran dalam bentuk komoditi bagi urusniaga membekalkan pesawat tempur ringan (LCA), Hurjet kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Temel Kotil berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah menerima pembayaran dalam bentuk komoditi kerana ia dalam membantu meningkatkan hasil komoditi negara.

“Pihak kami tidak ada masalah dalam soal ini (urusan komoditi) dan bersedia mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenainya dengan Malaysia.

“TAI juga sedia menerima sebarang kaedah pembayaran daripada Malaysia dengan membabitkan beberapa peratus tertentu daripada jumlah keseluruhan kos perolehan 15 buah LCA itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat pengoperasian 10 projek yang diusahakan TAI di ibu pejabat syarikat pertahanan itu, di sini, semalam.

Sementara itu, Temal berkata, TAI sedang merancang untuk melaksanakan proses pemasangan pesawat Hurjet di Malaysia sekiranya syarikat itu berjaya memenangi tender pesawat LCA.

Menurut, jika berjaya penghantaran pesawat dilakukan pada 2025 dan Malaysia bakal menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat Hurjet yang kini berada dalam proses pembangunan.

“Penerbangan pertama pesawat ini akan dilaksanakan pada Mac tahun depan.

“Tiga pesawat akan dipasang di Turki manakala 15 lagi akan dipasang di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette