Gambar terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Ali.- Gambar FB Dr. Mahathir.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bersyukur kerana semakin pulih sekarang  mengakui pernah rasa seperti putus harapan ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan rahsianya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi sayalah amat teruk

“Adakalanya saya tak haraplah nak pulih tetapi alhamdullilah dengan rawatan yang diberi di IJN saya pulih,” kata Dr. Mahathir dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Menurutnya, beliau kini boleh melakukan banyak aktiviti hampir seperti menjalani kehidupan biasa sebelum ini.

Namun, Dr. Mahathir berkata, badannya masih tidak begitu kuat untuk bekerja dan berharap akan pulih sepenuhnya.

“Waktu ini saya boleh berjalan, saya boleh makan, saya boleh tidur, saya boleh duduk, saya hampir macam biasalah tapi taklah begitu kuat nak bekerja apa semua.

“Tapi saya harap saya akan pulih, sekian terima kasih,” katanya.

Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi empat hari lalu.

Negarawan itu dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar untuk menjalani pemulihan di rumah.- MalaysiaGazette