Ismail Demir. Foto MalaysiaGazette

ANKARA, Turki – Malaysia berpotensi menjadi penyumbang kepada pembangunan sistem industri pertahanan negara Eropah menerusi pelaburan jangka masa panjang khususnya membabitkan projek jet pejuang generasi kelima dikenali  sebagai TF-X.

Presiden Industri Pertahanan (SSB), Ismail Demir berkata, tawaran tersebut dikemukakan melalui kerjasama dan hubungan rapat Turki dengan negara anggota ASEAN..

“Apa yang kami lihat dan sangat optimis menerusi kerjasama projek TF-X adalah ia secara tidak langsung membuka peluang kepada Malaysia untuk membangunkan sektor pertahanan membabitkan pelbagai aspek terutama kepakaran teknologi serta tenaga mahir.

“Hubungan kami dengan Malaysia memang rapat sejak dulu lagi dan saya berharap negara ini dapat menyertai projek pembangunan jet pejuang generasi kelima ini terutama di peringkat awal pembangunan,” katanya di ibu pejabat SSB, di sini, sambil menambah projek tersebut membabitkan kos yang tinggi.

Ismail Demir (empat dari Kiri) bersama delegasi media Malaysia di ibu pejabat SSB di Ankara, Turki.Foto MalaysiaGazette

SSB merupakan institusi awam yang ditubuhkan kerajaan Turki bagi mengurus indistri pertahanan negara itu dan membekalkan teknologi ketenteraan.

Tambah beliau, pihaknya melihat kepada manfaat jangka panjang dan mahu melangkah ke hadapan dalam industri pertahanan dengan Malaysia.

Sementara itu, Ismail berkata, eksport produk pertahanan Turki ke negara ASEAN masih kecil memandangkan nilai eksport keseluruhan industri pertahanan negara itu berjumlah AS$3 bilion menerusi 230 produk.

“Pada tahun 2019 Turki menandatangani 14 jenis memorandum persefahaman dalam industri pertahanan Malaysia dan produk eksport yang utama adalah kenderaan berperisai.

“Namun kali ini kami melihat potensi untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala kami dalam sektor lain iaitu elektronik, Artificial Intelligence (kecerdasan buatan) pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast