KUALA LUMPUR – Pertumbuhan positif semua indikator guna tenaga pada suku tahun keempat 2021 memberi isyarat permintaan buruh di Malaysia menuju ke arah pemulihan.
Ia selari dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tenaga Buruh Suku Tahunan yang dikeluarkan pada 8 Februari 2022.
Pelan Pemulihan Negara yang menggalakkan akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan kedudukan permintaan buruh di Malaysia dijangka lebih baik pada masa akan datang, namun tidak mengambil kira cabaran varian baharu yang lebih berbahaya, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Mohd Uzir Mahidin.
Berdasarkan laporan itu, bilangan jawatan di sektor ekonomi meningkat kepada 8.53 juta pada suku tahun keempat 2021 iaitu yang tertinggi direkodkan dalam tempoh pandemik, meningkat sebanyak 0.9 peratus atau bersamaan dengan 73,600 jawatan berbanding dengan suku sama tahun lepas (ST4 2020: 8.46 juta).
Mohd Uzir Mahidin, peningkatan ini selari dengan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh yang berterusan lanjutan daripada peralihan kebanyakan negeri ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh tersebut.
Untuk rekod, bilangan jawatan pada suku keempat 2021 ini adalah yang tertinggi direkodkan dalam tempoh krisis kesihatan awam, namun masih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik.
Dengan pelonggaran sebahagian besar sekatan serta pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti sosial, bilangan jawatan diisi juga meningkat
kepada 8.35 juta jawatan pada suku tahun ini (ST4 2020: 8.28 juta), sekali gus menunjukkan kedudukan perniagaan semakin baik secara beransur-ansur.
Sementara itu, kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan masing-masing adalah 97.8 peratus dan 2.2 peratus.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan jawatan diisi itu, Mohd Uzir berkata, pada suku tahun ini, sektor pembuatan masih menunjukkan trend peningkatan dengan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.7 peratus (ST4 2020: 1.6%) merekodkan sejumlah 2.22 juta jawatan diisi.
Sementara itu, jawatan diisi di sektor perkhidmatan adalah sebanyak 4.39 juta, pulih 1.0 peratus berbanding -0.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Bagi tiga sektor lain iaitu pertanian, perlombongan & pengkuarian dan pembinaan yang merangkumi 20.9 peratus daripada jumlah jawatan diisi kekal dalam trend penurunan.
Daripada keseluruhan jawatan diisi pada suku keempat, 62.4 peratus adalah dalam kategori separuh mahir, diikuti oleh mahir (24.8%) dan berkemahiran rendah (12.8%).
“Ekoran pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi, kekosongan jawatan telah meningkat kepada 183,600 jawatan pada suku tahun ini, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus (ST4 2020: -3.0%),” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 20.9 juta jawatan diwujudkan pada suku tahun ini, iaitu yang tertinggi direkodkan sejak suku ketiga tahun 2020.
Walau bagaimanapun, perbandingan pewujudan jawatan secara tahunan, bilangan pewujudan jawatan pada tahun 2021 masih rendah berbanding yang telah direkodkan pada tahun 2019 (104,00) dan tahun 2020 (73,300).
Dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, 64.4 peratus adalah di kategori separuh mahir dengan 13, 500 jawatan, diikuti dengan jawatan kategori mahir (28.6%: 6.0 ribu) dan kategori berkemahiran rendah (7.0%: 1,500).
Mengikut aktiviti ekonomi, sebahagian besar jawatan adalah di sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan 41.9 peratus atau bersamaan dengan 8,800 jawatan, terutamanya di subsektor perdagangan borong dan runcit.
Sementara itu, subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal merekodkan pewujudan jawatan tertinggi di sektor pembuatan dengan sebanyak 2,900 jawatan (13.6%). – MalaysiaGazette