Geostrategist Perdana School UTM, Azmi Hassan. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Calon Menteri Besar yang akan mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berani dan tegas, lebih penting mempunyai hubungan baik dengan Istana Johor.

Geostrategis & Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berpandangan, calon Menteri Besar itu mempunyai peranan besar terhadap pembangunan negeri yang berada di Selatan tanah air.

“Uniknya pentadbiran di Johor adalah ketegasan seorang pentadbir dan sesekali perlud dilihat tegas menentang keputusan Putrajaya (kerajaan persekutuan).

“Kerana itu pentingnya kita mengetahui siapa calon Menteri besar setiap parti dan kedua penting adalah manifesto,” katanya Ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi dengan tajuk ‘PRN JOHOR: Gendang Bermula, Antara Calon, Parti Atau…’.

Turut sama menjadi panel adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang lantang membicarakan mengenai pergerakan awal setiap parti menjelang PRN Johor pada 12 Mac depan.

“Kerajaan Johor yang bakal dibentuk perlulah ada autonomi berbanding apa yang ada di Putrajaya.

“Seperti apa yang berlaku di Sarawak, mengapa Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh menang begitu hebat kerana mereka dapat membuktikan sikap berdikari dan boleh berdepan dengan Putrajaya,” katanya.

Tambah beliau, perkara sama perlu berlaku di Johor kerana ‘Bangsa Johor’ yang mahu melihat kerajaan negeri itu ditadbir dengan pembangunan yang baik.

“Tidak hanya itu, mereka juga berkeyakinan kerajaan yang bakal dibentuk itu nanti dapat memajukan Johor ke depan.

“Itulah uniknya di Johor kerana pengundi di sana memilih dengan mengambil kira siapakah calon Menteri besar,” ujarnya.

Jelas Azmi, tidak mengira calon tersebut daripada parti mana, apa yang menjadi keutamaan adalah negeri dan pembangunan.

“Tidak kiralah Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, kita nak tahu siapa Menteri besar mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast