KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang memperoleh enam kerusi daripada parti Amanah dan DAP untuk Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat seperti ‘sujud’ kepada Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, MUDA masih lagi belum menamatkan perbincangan dengan PKR untuk mendapatkan kerusi memandangkan parti ini sebelum ini mahu bertanding 10 kerusi di PRN Johor.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, MUDA seharusnya bergerak sendiri dan tidak bersama-sama PH untuk memenangi hati pengundi di Johor.

“Dengan keberadaan pengundi automatik dan 18 tahun, ia boleh menjadi kekuatan untuk MUDA berlawan lebih lima penjuru di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Bagi saya MUDA tak perlu sujud kepada mana-mana parti politik. MUDA mempunyai kekuatan di mana mereka membawa gelombang sebagai parti politik baharu, perubahan politik yang baharu serta mendapat tempias terhadap kemasukan pengundi automatik dan 18 tahun,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi dengan tajuk ‘PRN JOHOR: Gendang Bermula Antara Parti, Calon Atau…’

Program selama satu jam itu turut disertai Geostrategis & Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan dan dihoskan Haslina AR Kamaludin.

Muhammad Tawfik berkata, tindakan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berbincang bersama PKR, Amanah dan DAP juga dilihat tidak wajar dilakukan.

“Ini mencerminkan seolah-olah MUDA berkiblatkan kepada pembangkang. Jika mereka merasakan ada kekuatan, bertanding sahaja di 56 kerusi Dun.

“Ini sekali gus akan dapat menonjolkan kekuatan mereka. Istilah khemah besar yang sebelum ini digunakan oleh PH juga sudah tidak lagi bermakna.

“Bagi saya, khemah besar itu sudah koyak dan tidak relevan digunakan untuk politik di Johor,” jelasnya.

Tambahnya, untuk memenangi hati pengundi Johor, setiap parti perlu menunjukkan kekuatan sendiri.

“Bagaimana PH mahu merobohkan kekuatan BN di Johor sedangkan mereka sendiri berdepan masalah dalaman seperti penggunaan logo parti sendiri.

“Kerjasama politik apa jika begitu berlaku dan mereka perlu menunjukkan kekuatan sebelum penamaan calon,” katanya lagi.

Jelasnya, semua parti yang akan bertanding di PRN Johor termasuk BN juga masih tidak kukuh dan bergelut dengan masalah dalaman sendiri.

“Rakyat Johor mahu lihat pembaharuan dan jika perkara ini tidak mampu dibawakan oleh mana-mana parti politik, ia membuatkan rakyat sukar membuat pilihan,” katanya.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamanaan calon, 8 Mac mengundi awal dan 12 Mac merupakan hari mengundi untuk PRN Johor.

Dun Johor dibubarkan selepas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast