Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima maklumat awam melalui panggilan MERS 999 memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan terjatuh sekitar pukul 8.20 pagi.

“Mangsa dikatakan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada ketika itu dan telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan ambulans Briged Tengah PGA.

“Usaha untuk menyelamatkan mangsa telah dijalankan dan kira-kira pukul 9.45 pagi mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, berdasarkan siasatan mangsa didapati berada berseorangan di rumah ketika kejadian.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai berhampiran atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faeez Norzah di talian 013-2773407.

“Orang ramai juga di seru supaya tidak melakukan pengabaian ke atas anak-anak di bawah umur bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingin berlaku,” ujarnya.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan pengabaian dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette