Lawyer, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah leaves the court after the proceeding of his application to reclaim his passport to fly to the United States. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 25 OCTOBER 2021.
Lawyer, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah leaves the court after the proceeding of his application to reclaim his passport to fly to the United States. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 25 OCTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Februari ini bagi memutuskan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memadam sebahagian kandungan penyataan bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam prosiding hari ini, peguam mewakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh berkata, sebilangan perenggan dalam pernyataan saksi pendakwaan ketujuh (SP7), Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad sebagai tidak relevan dengan pertuduhan.

Hujah Harvinderjit di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, pihaknya telah memohon untuk memadam 33 perenggan daripada keseluruhan 51 perenggan yang terkandung dalam pernyataan bertulis pada 13 muka surat.

“Sebenarnya Yang Arif, ada keterangan saksi berdasarkan hearsay (dengar cakap) selain memberi pandangan perundangan walaupun tidak mempunyai latar belakang undang-undang.

“Pandangan yang dikemukakannya selepas menjalankan siasatan melibatkan LHDN sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kes pengubahan haram yang dihadapi oleh anak guam saya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz membantah dan berkata, permohonan itu pramatang dan tidak berasas.

Afzainizam memberitahu, saksi yang merupakan pegawai LHDN ketika itu mempunyai kuasa untuk mendapatkan fakta serta membuat kesimpulan bagi menyokong siasatan tersebut.

“Keterangan itu tidak perlu dipadam dan ianya relevan, sepatutnya pembelaan lawan hujah itu dengan fakta bukan guna jalan short cut seperti ini,” ujarnya.

Muhammad Jamil kemudian menetapkan 15 Februari ini untuk menentukan sama ada permohonan tertuduh untuk memadam keterangan itu dibenarkan.

Muhammad Shafee berdepan dua tuduhan penggubahan wang haram dengan menerima dana daripada hasil aktiviti haram yang mana ceknya telah dimasukkan oleh Najib ke dalam akaun CIMB miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – MalaysiaGazette