Kamarul Zaman

JOHOR BAHRU – Sindiket memperdaya lelaki dengan menawarkan langganan seks sebelum membuat panggilan video lucah menerusi aplikasi Facebook, Wechat, Michat, Line dan Tinder ditumpaskan polis Johor dalam OP Bugil bulan lalu.

Ketua Polis Johor,Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tujuh individu yang dipercayai dalang sindiket itu melibatkan tiga lelaki tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan masing-masing seorang wanita tempatan bersama  wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 54 tahun.

Kesemua mereka telah ditahan kerana merupakan pemilik akaun media sosial tersebut dan pemegang kad bank bukan milikan.

Modus operandi sindiket itu adalah menghubungi mangsa melalui aplikasi media sosial dengan menyamar sebagai wanita yang mahu cari kenalan.

“Kemudian sindiket akan membuat panggilan video kepada mangsa dengan mempamerkan aksi lucah dan memperdayakan mangsa untuk melakukan adegan lucah.

“Seterusnya sindiket berkenaan akan menggunakan rakaman tersebut untuk mengugut mangsa dengan wang ringgit dan jika mangsa tidak bayar, rakaman berkenaan akan ditularkan di media sosial,” ujarnya.

Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya telah menerima 368 aduan daripada mangsa melibatkan ugutan penyebaran video bogel dengan kerugian dianggar sebanyak RM485,013 sejak Januari 2021 hingga kini.

“Sehubungan itu, polis Johor mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan taktik berkenaan agar tidak menjadi sasaran sindiket terbabit.

“Orang awam juga tidak seharusnya membenarkan akaun bank milik mereka digunakan mana-mana pihak ketiga kerana dibimbangi diguna dalam aktiviti jenayah,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan godaan dan akhirnya menjadi sasaran kepada sindiket itu membuat pemerasan bagi menyebarkan aksi lucah dilakukan mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast