Hamzah Zainudin

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) merayu rakyat Johor supaya memberi mandat kepada gabungan itu untuk mentadbir negeri ini.

Pengarah Pilihan Raya (PRN) Johor bagi Pakatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui, hanya dengan kuasa dan peranan rakyat negeri itu sahaja dapat membantu PN menundukkan pihak yang angkuh.

“Untuk itu, rakyat Johor harus memainkan peranan untuk membantu kita supaya dapat mentadbir Johor.

“PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa beranggapan seluruh rakyat harus dibantu dan keprihatinan ini telah dibuktikan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

”Oleh itu jika dilihat hari ini semua bersemangat dan saya tidak perlu ucap panjang. Apa yang lebih penting ialah pada hari pengundian itu nanti, sama-sama kita buktikan kepada mereka yang angkuh dan tamak kuasa.

“Kalau rakyat mahukan pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN. Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan PN,” ucap beliau semasa majlis penyerahan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda di sini petang tadi.

Tidak cukup dengan itu, Hamzah berkali-kali menyatakan bahawa PN akan menang besar di Selatan Tanah Air dalam PRN itu nanti.

“Kita yakin semangat PN akan bangkit di negeri Johor dan untuk memastikan negeri Johor akan berjaya, kita pastikan Perikatan Nasional akan memimpin Johor dalam PRN tidak lama lagi.

“Kita akan tentang habis-habisan, yang lebih utama kebajikan rakyat Johor akan terbela dengan kepimpinan Perikatan Nasional,” katanya.

Menurut beliau, ketika ini PN akan memberi tumpuan memenangkan calon PN dan tidak timbul lagi persoalan mengapa perlu mengadakan PRN Johor.

“Isu siapa punca bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan lagi, isu penting kerana sudah dibubarkan. Yang penting adalah untuk pastikan kuasa itu akan kembali kepada PN,” katanya.

Katanya, ada sesetengah pihak hanya pandai mengkritik PN dan parti gabungannya tetapi tidak sedar bahawa mereka yang mendatangkan masalah di Johor.

“Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita telah menang di Sabah. Kali ini di Johor kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN.-MalaysiaGazette