JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan memperkenalkan kesemua 42 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua hari sebelum hari penamaan calon.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu masih belum memuktamadkan senarai calon PRN.
“Kita rasakan sudah tiba masanya pastikan pentadbiran bersih dan integriti kerana kita lihat semua masalah hari ini berpunca dari rasuah.
“Dan saya rasa rakyat Johor amat peka dengan perkara ini dan akan pilih dengan tepat calon daripada Pejuang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pejuang, di sini, malam ini.
Ditanya mengenai rancangan Pejuang bergerak solo para PRN Johor, Mukhriz berkata, meskipun masih baharu parti itu mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman luas dalam kerajaan sebelum ini bagi menarik pengundi.
“Kita ada pengerusi dengan pengalaman yang luas kerana pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali kita ada juga pengalaman sebagai menteri besar, timbalan menteri dan senator dan pengalaman itu akan memberi nilai tambah tinggi rakyat Johor
“Parti Pejuang juga sinonim dengan usaha untuk perangi rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette