Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan prosiding saman tunggakan cukai pendapatan  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datuk Seri Najib  Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin ditangguhkan.

Ini kerana LHDN tampil memohon penangguhan selepas mendapati salah seorang daripada peguam mewakili mereka di sahkan positif Covid-19.

Susulan dari penangguhan itu, mahkamah menetapkan 10 Mei ini bagi mendengar permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan LHDN mendapatkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai pendapatan terhadap mereka.

Sebelum ini, Najib dan Mohd Nazifuddin telah memfailkan notis usul bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai berkenaan.

Pada 9 September lepas, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus tuntutan tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar.

Selain itu kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran daripada 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. -MalaysiaGazette