Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan pelekat ‘Malu Apa Bossku’ semasa hadir ke Tesco sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Tesco Seri Putri, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 23 FEBRUARI 2019

ADAKAH perasaan malu harus membataskan seseorang sehingga dia tidak boleh mempertahankan diri daripada segala tuduhan yang dilemparkan.

Fitnah bukan sahaja menjejaskan imej dan kesihatan mental diri sendiri tetapi juga ahli keluarga.

Perlukah seseorang mendiamkan diri selepas dilemparkan dengan kata-kata nista hanya kerana tidak mahu dicop sebagai tidak tahu malu?

Benarkah ajaran Islam dan budaya Melayu menghalang seseorang daripada mempertahankan diri kerana mereka dihalang daripada bersikap tidak tahu malu?

Malu Apa Bossku

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dituduh tidak tahu malu kerana slogan dan gerakan ‘Malu Apa Bossku’.

Inisiatif ‘Malu Apa Bossku’ digerakkan oleh segelintir anak muda selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Gerakan itu muncul selepas beberapa bulan selepas Pakatan Harapan memerintah dan gagal menunaikan manifesto dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan.

Anak muda ini tidak berpuas hati dengan pemerintahan PH yang dikatakan gagal dan simpati terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib. Mereka sangsi terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada Najib.

Gerakan ‘Malu Apa Bossku’ berjaya mencipta momentum hingga Barisan Nasional menang dalam beberapa pilihan raya kecil.

Namun selepas kejayaan gerakan itu, ada yang menyatakan slogan ‘Malu Apa Bosku’ memperlekehkan sifat malu yang diterapkan oleh Islam dan budaya Melayu.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pula baru-baru ini menyatakan rasa malu kerana dikaitkan dengan parti yang mempunyai ‘boss’ yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan jenayah berat.

Kenyataan Muhyiddin itu keluar selepas UMNO teguh dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dalam Muafakat Nasional dan Kerajaan, walaupun didesak oleh Pas.

Malu dalam Islam dan budaya Melayu

Islam menempatkan budaya rasa malu sebagai sebahagian daripada keimanan seseorang.

Orang yang beriman pasti memiliki sifat malu dalam menjalani kehidupan.

Orang yang tidak memiliki rasa malu dikatakan tidak memiliki iman dalam dirinya, meskipun lidahnya menyatakan beriman.

Rasulullah SAW bersabda, ”Iman itu lebih dari 70 atau 60 cabang, cabang iman yang tertinggi adalah mengucapkan ‘La ilaha illallah’, dan cabang iman terendah adalah membuang gangguan (duri) dari jalan, dan rasa malu merupakan cabang dari iman.” (HR Bukhari-Muslim).

Di dalam Islam juga terdapat ayat yang meminta agar orang-orang yang beriman supaya tidak malu untuk bercakap benar.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 70 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katalah perkataan yang benar.”

Dalam budaya Melayu terdapat frasa, ‘malu biarlah bertempat’ iaitu seseorang tidak perlu berasa malu demi kemajuan diri dan kebenaran.

Ya, dalam Islam ditekankan supaya setiap manusia mempunyai sifat malu kerana ia menghalang seseorang daripada melakukan maksiat dan dosa kepada Allah.

Nanum dalam ajaran Islam, seseorang juga tidak seharusnya berdiam diri daripada berkata benar.

Malah dalam budaya Melayu, seseorang tidak boleh bersikap malu yang akan menghalang dirinya daripada maju, untuk bertindak dan mempertahankan diri sendiri apabila ditohmah.

Salahkan Najib tidak bersikap malu?

Berdasarkan ajaran Islam supaya bercakap benar dan budaya Melayu untuk ‘malu biarlah bertempat’, salahkan Najib untuk bersikap tidak malu dalam mempertahankan dirinya, keluarganya dan parti yang disayanginya?

Adakah satu kesalahan untuk Najib melawan segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, seperti mana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawan segala tuduhan melakukan liwat dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang melawan tuduhan melakukan rasuah?

Anwar yang telah menjalani hukuman pun sehingga kini menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Jadi mengapa pula Najib harus berasa malu untuk mempertahankan maruahnya kerana dia masih diberikan ruang untuk mempertahankan diri oleh undang-undang?

Adakah hanya kerana segelintir pihak mahu Najib berasa malu dengan segala tuduhan yang dilemparkan, Ahli Parlimen Pekan itu perlu berdiam diri?

Najib tidak seharusnya malu untuk mempertahankan diri daripada segala tuduhan yang dirasakan fitnah terhadap dirinya.

Najib juga tidak perlu untuk malu meneruskan khidmat kepada masyarakat. Sehingga kini, baik di kawasan parlimennya di Pekan mahupun di seluruh Malaysia, Najib masih disenangi oleh kebanyakan rakyat.

Lihat sahaja sambutan yang diberikan terhadap Najib ketika turun menemui rakyat. Sambutan yang diterimanya luar biasa. Tidak padan dengan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya.

Sebab itu kelibat Najib dalam mana-mana pilihan raya menjadi mimpi ngeri kepada musuh politiknya.

Gelombang ‘Malu Apa Bossku’ membuktikan Najib diterima sebagai pemimpin dan khidmatnya masih diperlukan oleh rakyat.

Selain  itu, haruskah Najib berasa malu untuk mempertahankan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang telah mengkhianati parti itu, yang melompat ke parti kerana UMNO dan BN tewas semasa PRU-14?

Tidakkan menjadi satu kewajaran kepada mana-mana ahli dan pemimpinnya termasuk Najib untuk mempertahankan parti sendiri daripada golongan yang dianggap pengkhianat?

Adakah Najib perlu berpeluk tubuh, melihat sahaja musuh-musuh UMNO termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meruntuhkan UMNO hanya kerana mahu menggelak daripada dicop sebagai manusia tidak tahu malu?

Sebenarnya tidaklah menjadi satu kesalahan kepada Najib untuk menyatakan bahawa kewujudan PPBM itu untuk mengantikan UMNO.

Jika Najib fikirkan PPBM adalah pengkhianat UMNO, dia sebagai pemimpin parti itu berhak dan tidak seharunya berasa malu untuk menyatakan pendapatnya.

Seperti mana UMNO teguh untuk tidak menerima PPBM, begitu jugalah dengan Najib yang perlu teguh dengan perjuangannya. Berkata benar dan jangan malu tidak bertempat!-MalaysiaGazette