Muhammad Zakir Abdul Razak

ERA pandemik Covid-19 menyaksikan ribuan pelajar telah berhenti sekolah seperti mana statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu seramai 21,316 orang.

Jumlah ini termasuklah pelajar di peringkat rendah dan menengah. Namun, tiada sebarang pelan tindakan yang dibentangkan untuk mengatasi isu ini.

Isu yang tular baru-baru ini berkenaan seorang kanak-kanak berumur 15 tahun yang menikam bayinya mengejutkan banyak pihak.

Apatah lagi setelah mendapat tahu kanak-kanak tersebut berhenti
daripada sekolah sejak berumur 12 tahun. Namun, masih tiada sebarang tindak balas daripada KPM berkenaan isu tersebut.

Kanak-kanak tersebut seharusnya mendapatkan haknya untuk menjalani persekolahan seperti rakan-rakan yang lain untuk meningkatkan kualiti pemikiran dan kehidupannya.

Justeru, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) menggesa agar KPM dapat memberikan perhatian lebih kepada pendidikan kanak-kanak di Malaysia dan menjadikan sekolah sebagai ruang selamat bagi mereka mendapatkan pendidikan.

PEPIAS juga mencadangkan agar KPM dapat menyediakan dana khas bagi membiayai pendidikan kanak-kanak yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM) juga perlu berperanan dalam memastikan agenda pembangunan keluarga sentiasa dipelihara.

Tambahan lagi, KPM dan KPWKM perlu menjadi sebuah institusi yang agresif dalam memastikan pendidikan dan kebajikan kanak-kanak di negara ini sentiasa dirancang dengan baik dan terjamin.

Sikap tidak acuh terhadap isu keciciran ini akan menjana kepada kebejatan masa hadapan negara, sekaligus mengurangkan tahap kualiti pemikiran dan perkembangan generasi akan datang.

PEPIAS yakin banyak pihak sanggup berganding bahu demi memastikan hak pendidikan dan kebajikan ini diberikan seadilnya kepada kanak-kanak di Malaysia.

PEPIAS juga sentiasa bersedia menyumbang tenaga dan bekerjasama dari pelbagai sudut untuk memberikan semangat dan motivasi kepada kanak-kanak ini demi melahirkan generasi yang lebih baik.

Akhir kalam, generasi berilmu generasi berjaya. Generasi Penerus Harapan Ummah.

Penulis Muhammad Zakir Abdul Razak merupakan
Presiden PEPIAS. – MalaysiaGazette