KUALA LUMPUR – Menjadi kerajaan bukan main pondok-pondok.
“Hari ini orang lain bina, esok orang lain roboh…,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek yang mengulas mengenai pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
Menurutnya, sudah hampir setahun Kerajaan Malaysia melunaskan bayaran pampasan HSR kepada Singapura.
Negeri Johor, ujar beliau, akan menjadi lebih pesat jika projek HSR itu menjadi kenyataan.
Rakyat Johor tahu betapa pesatnya pembangunan di Wilayah Iskandar dan kepesatan itu tidak terjadi dengan sendirinya tanpa perancangan dan komitmen daripada Kerajaan Barisan Nasional.
Projek yang diusahakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu digantung pada 5 September 2018 semasa Kerajaan Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu berkata, Malaysia tidak mempunyai keperluan atau rancangan untuk melaksanakan projek HSR buat masa ini.
Projek itu digantung selama dua tahun, sehingga 31 Disember 2020
Pembatalan itu secara rasmi diumumkan pada 1 Januari 2021 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong selepas projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.
Pembatalan itu menyebabkan Malaysia membayar sebanyak RM320,270,519.24 kepada Singapura sebagai pampasan.
Pampasan itu adalah jumlah kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan. – MalaysiaGazette