Kedua-dua pihak ini telah menandatangani memorandum persefahamaan (MoU) kerjasama secara rasmi bagi mewujudkan ‘Program Penanam Muda Pertanian Ketepatan Pintar’.

KUALA LUMPUR – Syarikat Idea Company yang berasaskan industri pertanian menjalin kerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) bagi usaha berterusan dalam mencungkil minat petani muda.

Kedua-dua pihak ini telah menandatangani memorandum persefahamaan (MoU) kerjasama secara rasmi bagi mewujudkan ‘Program Penanam Muda Pertanian Ketepatan Pintar’.

Menurut Pengarah Urusan Idea Company Sdn Bhd, Zachary Aman, kerjasama unik antara syarikatnya dengan institusi pengajian tinggi adalah langkah pertama dalam memperkasa sektor agromakanan negara.

Jalinan kerjasama ini akan dimanfaatkan dari segi kepakaran dan pengetahuan dalam pertanian, pengeluaran dan pengedaran makanan, perniagaan berteraskan teknologi serta kelayakan pengurusan.

“Sebenarnya untuk pengetahuan anda, MMU mempunyai banyak fakulti berkaitan yang boleh bantu kita meliputi skop dan fokus yang diperlukan untuk menjayakan keseluruhan ekosistem ini.

“MMU ialah rakan kongsi yang kukuh dan sesuai untuk Idea Company dalam perjalanan kami terus membangunkan dan mengukuhkan ekosistem pertanian.

“Idea Company sentiasa berusaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi berkaitan dengan mengubah cara kita berkembang dan mengeluarkan makanan untuk keuntungan serta meringankan kualiti hidup petani di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Zachary, Program Penanam Muda Pertanian Ketepatan Pintar di reka khas bukan hanya untuk memupuk minat dalam bidang yang semakin mendapat tempat dengan golongan generasi akan datang sebaliknya juga  merekrut serta melatih petani muda di negara ini.

“Ini adalah langkah pertama dalam membangunkan modal insan untuk memajukan matlamat negara kita untuk menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Matlamat kita pastinya untuk membina petani moden yang boleh menghasilkan keluaran berkualiti tinggi dan hasil tinggi sepanjang tahun.

“Namun matlamat jangka panjang ialah melatih kepakaran dan pengalaman luas untuk menyelesaikan isu-isu dalam sektor pertanian untuk masa depan lebih terjamin serta mampan,” ujarnya. -MalaysiaGazette