Seramai 87 pengunjung dan tiga pemilik pusat hiburan masing-masing dikompaun RM1,000 menerusi serbuan di ibu negara malam tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai 87 pengunjung dan tiga pemilik pusat hiburan masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi Op Khas Pematuhan SOP Covid-19 di sekitar ibu negara, lewat malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan secara berasingan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JPJKK Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan mendapati kesemua pusat hiburan itu beroperasi dengan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuat kuasa ketika ini.

“Kesemua pemilik premis telah dikenakan kompaun berjumlah RM 1,000 setiap satu manakala seramai 87 pengunjung turut dikenakan kompaun dengan nilai sama setiap seorang.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM 3,000 kepada pemilik premis manakala RM 87,000 bagi pengunjung premis yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Azman, sejak 1 Januari sehingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 370 kompaun dengan nilai keseluruhan RM370,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan manakala 80 kompaun bernilai RM80,000 dikeluarkan kepada orang ramai yang gagal mematuhi SOP Covid-19.

Jelasnya, kesemua kompaun yang dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.

“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan Wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast